Saya agak bosan apabila mendengar bukan sedikit orang yang apabila ditanyakan tentang sebab kenapa mereka bercerai, lantas mereka menjawab "ini semua kehendak Allah, saya tiada kuasa melawan kuasa Allah" atau pun jawapan sebegini "kan jodoh dan cerai tu di tangan Allah?" Yang terbaru saya dengar adalah temubual artis tgh hari tadi di salah sebuah rancangan sensasi TV swasta.
Sekali dengar, mungkin kenyataan itu tiada cacat celanya tapi apabila dinilai semula, ianya tidak lebih hanya untuk melindungi kelemahan diri sendiri dengan menyandarkannya (sebab musababnya) kepada Allah. Ianya nyata bertentangan dengan apa yang telah dinyatakan oleh al-Quran dan hadis nabi yang menyatakan segala kerosakan di atas muka bumi ini adalah perbuatan manusia itu sendiri. Mari kita lihat antara dalil2nya:
عن أبي عبد الرحمن عبد الله بن مسعود رضي الله عنه قال1
حدثنا رسول اللهَّ صلي الله عليه وسلم وهو الصادق المصدوق:
إن أحدكم يُجمع خلقه في بطن أمه أربعين يوما نطفة ، ثم يكون
علقة مثل ذلك ، ثم يكون مضغة مثل ذلك ، ثم يرسل إليه الملك
فينفخ فيه الروح ويؤمر بأربع كلمات بكتب رزقه وأجله وعمله
وشقي أو سعيد ... (رواه البخاري ومسلم)
Ertinya: Kamu dibentuk menjadi satu makhluk di dalam perut ibumu selama 40 hari air mani kemudian seketul darah kemudian seketul daging kemudian diutuskan kepadanya malaikat lalu ditiupkan padanya roh dan diarahkan untuk menulis tentang 4 perkara iaitu rezekinya, ajalnya, amalannya (sama ada baik atau buruk).
Hadis riwayat Bukhari dan Muslim di atas tidak menyebut secara khusus akan perceraian. Yang ada hanyalah rezeki, ajal, amalan (sama ada baik atau buruk). Perkataan "ditulis" bukanlah bermaksud segala gerak geri dan perilaku seseorang itu telah ditentukan sejak azali, tetapi lebih kepada ketentuan sistem alam itu sendiri. Contoh mudah: Tidaklah berpaling ke kanan mahu pun ke kiri itu telah ditentukan sejak azali lagi tetapi apa yang ditentukan ialah sistem seperti apabila berpaling ke kiri dan ke kanan terlalu kerap maka akan berasa lenguh. Inilah yang dinamakan sistem itu dan inilah yang telah ditentukan sejak azali!
2.أبغض الحلال إلى الله الطلاق
Ertinya : "Perkara halal yang paling dimurkai Allah adalah Talaq ( penceraian suami isteri)"( Riwayat Abu Daud, Al-Hakim ; As-Suyuti, Ibn 'Adiyy : Sohih ; Al-Munawi, tidak sohih )
Memahami qada' dan qadar (takdir)
Takdir adalah suatu peraturan yang telah dibuat (ditetapkan) oleh Allah swt untuk segala yang ada dalam alam ini. Peraturan-peraturan tersebut merupakan undang–undang umum atau kepastian-kepastian yang diikat di dalamnya antara sebab dengan musabbabnya, atau antara sebab akibatnya.
Ramai yang salah anggap tentang qada' dan qadar. Mari kita lihat maksudnya secara mudah. Qadar ialah pelaksanaan atau proses sesuatu ketentuan Allah manakala Qada' adalah keputusannya atau outcomenya atau resultnya. Ketentuan adalah satu sistem Allah, jika kita mengikut sistemnya, insya Allah kita akan dapat apa yang dikehendaki, dan jika tidak mengikutnya maka resultnya adalah apa yang tidak dikehendaki. Beriman bahawa Allah mencipta peraturan, undang-undang dan sistem dalam alam ini. Jadi, setiap perkara dalam alam ini berlaku mengikut ketetapan peraturan, undang-undang dan sistem yang telah ditetap oleh Allah. Begitulah dengan perceraian. Mana mungkin Allah yang tentukan tapi dalam masa yang sama Allah menyatakan cerai itu adalah perkara yang dibenciNya. Sudah tentu ada percanggahan bila kita maksudkan Allah tentukan begitu. Timbul pula persoalan lain, tentukan apa? Inilah yang perlu dijawab. Apa yang ditentukan oleh Allah ialah sistem itu. Iaitu sistem di mana jika pasangan itu tidak bertoleransi, sering bergaduh, tiada hormat menghormati dan sebagainya maka akan berlakulah perceraian. Maknanya manusia itu sendiri puncanya bukan Allah. Namun kita perlu ingat, semuanya ini adalah di dalam pengetahuan Allah swt. Allah jualah yang maha mengetahui bagi setiap sesuatu. Namun perlu dibezakan antara pengetahuan dan ketentuan itu sendiri. Allah bukanlah semata-mata penentu kepada setiap gerak laku manusia mahupun atau punca ke arah sesuatu kejadian yang dilakukan oleh manusia. Allah adalah penentu kepada sistem itu. Ianya umpama seorang pensyarah yang mengetahui nasib anak muridnya sama ada akan berjaya atau tidak (berdasarkan penelitian, pengetahuan beliau) namun bukan pensyarah yang menentukan kejayaannya atau kegagalannya. Pelajar itu sendirilah yang akan menentukan kejayaannya. Jika pelajar itu rajin berusaha dan sentiasa berdoa, insya Allah jika berlandaskan sistem Allah yang betul, maka apa yang dihajatinya bakal terlaksana.
Kenapa kita ikut sistem Allah, namun tidak juga dapat apa seperti mana yang kita kehendaki?
Ada orang akan mengatakan Allah mengetahui apa yang terbaik buat kita. Namun, jika kita malas belajar atau tidak mengikut peraturan Allah, adakah itu yang terbaik buat kita. Sudah tentu tidak!
Bagi saya itulah sebenarnya kelemahan manusia. Jika kita menyangka kita sudah mengikuti semua peraturan Allah swt, maka itu hanyalah apa yang kita ketahui sahaja. Sistem Allah itu terlampau kompleks dan tidak mungkin manusia itu mampu memikirkannya hanya sekadar menggunakan otak mereka semata-mata. Ada yang boleh dilihat dan ada yang tidak. Ada yang diketahui, ada yang belum diketahui mahupun yang tidak akan diketahui. Mana yang tidak itu, maka peranan doa dan tawakkal selepas berusaha (termasuk kajian-kajian) mengambil alih untuk menentukannya. Maka dengan itu, tiadalah pertentangan antara ayat Allah yang bermaksud: "Allah tidak mengubah nasib sesuatu kaum itu sehinggalah kaum itu mengubah sendiri nasibnya" dengan takdir Allah swt.
Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan