Isnin, 28 September 2009

Cabaran pasca raya


Dalam tak diam, sudah lebih seminggu umat Islam menyambut hari lebaran. Bagaimana rasanya ya? Adakah kita masih berasa gembira dan bahagia atau sebaliknya. Bagaimana dengan prestasi kewangan kita setakat ini? Ermm..berat juga berdepan persoalan-persoalan seperti itu lebih-lebih lagi pasca raya ni. Bagi kebanyakan orang, mereka cuba mengelakkan untuk membincangkannya atau menyemak semula kewangan masing-masing, takut hati risau duit tak cukup dan sebagainya. Dalam hal ini, pandai-pandailah masing-masing menguruskan kewangan mereka sendiri asalkan jangan menjadi pengemis terhormat pula selepas ini dek perbelanjaan 'tak ingat dunia' yang telah dilakukan 'time' raya. Apa yang pasti, bagi mereka yang bekerja, mood raya masih ada tatkala warga kota sudah memulakan kembali perjalanan mencari rezeki masing-masing dengan memulakan tugas paling lewat hari ini. Namun ada juga yang terlangsung sehari dua lagi. Berkaitan tentang ini, benarkah raya disambut selama sebulan? Wallahua'lam, tiada nas secara spesifik berkaitannya. Apa yang pasti 1 syawal adalah harinya yang pasti di mana umat Islam diharamkan berpuasa.

Ramai yang terlupa sebenarnya cabaran selepas raya (selepas raya di sini bermaksud selepas tamat cuti beraya bagi yang bekerja atau selepas raya pertama)adalah lebih besar dan begitu mencabar sekali. Manakan tidaknya konsistensi dalam ibadah kita sekali lagi diuji tatkala kita sering alpa dengan kegembiraan terhadap hiburan siang dan malam yag berpunca dari TV, astro mahupun tidur sepanjang hari yang sepatutnya diisi dengan menziarahi rakan taulan dan saudara mara terdekat mahupun yang 'bau-bau' bacang. Selain itu, kita juga sebenarnya diuji dengan pelbagai makanan dan juadah yang tidak terkita banyaknya, cukup untuk tetamu selama sebulan. Kita pula jarang menolak apa yang berada depan mata, semuanya hendak di'rembat' masuk ke dalam perut jika boleh. Jika sebelumnya perut diuji akan kekuatan menahan cucukan asid di dalam perut yang kosong, namun kali ini berbeza pula di mana sekali lagi kebolehan perut kita diuji menjalankan kerja-kerja berat tanpa henti dek makanan yang bertimpa-timpa dan bertalu-talu sepanjang hari. Adakah kita menyedari akan cabaran tersebut. Mungkin ya, tetapi kita jarang membuat persiapan ke arahnya. Buktinya adalah banyak dan yang paling terserlah adalah tidak solat jemaah, lewat solat fardhu eps. 'suboh gajah' dan sebagainya kerana mengantuk, kekenyangan dan keletihan yang kita sendiri ciptakannya sebagai alasan. Ini saya rasakan adalah cabaran teramat besar sekali untuk ditempuhi kerana kita tidak bersedia ke arahnya. Kita telah membuat persediaan yang begitu teliti sekali tentang sambutan hari lebaran. Dari sekecil-kecil perkara hinggalah sebesar-besarnya. Semuanya tidak terlepas dari perancangan kita. Namun persediaan terhadap cabaran konsistensi menunaikan ibadah di musim perayaan boleh dikatakan tidak ada sama sekali. Bagaimana 'performance' cemerlang kita di bulan Ramdhan lepas dapat diteruskan. Inilah kelemahan umat Islam yang saya perhatikan termasuklah saya sendiri. Puncanya mudah, kita tidak membuat persediaan seperti mana persediaan kita menyambut lebaran.

Ahad, 20 September 2009

Salam Eid Fitri: Gembira kerna apa di Hari Lebaran?


Hari ini hari raya. Seluruh umat Islam patut bergembira di hari ini. Jika tidak carilah jalan untuk merasainya. Bukan setakat itu sahaja, gembirakanlah juga orang-orang disekeliling kita, sanak saudara, teman-teman, jiran tetangga dan yang paling penting kedua ibu bapa kita. Bagi mereka yang susah, ziarahilah mereka, hulurkanlah sumbangan sedikit sebanyak. Jika tidak pun bayarlah zakat fitrah yang masih boleh dibayar beberapa jam lagi. Allah wajibkan kita membayarnya adalah kerana untuk orang-orang miskin turut merasai kegembiraan di hari lebaran ini.

Namun pernahkah kita bertanya kepada diri kita, kegembiraan ini adalah untuk apa? Adakah untuk Hari Raya semata-mata? Tentulah bukan itu sahaja. Kegembiraan sebenarnya adalah kegembiraan dapat menunaikan segala kewajipan Allah taala terhadap kita di sepanjang bulan Ramadhan lepas dengan jayanya dan juga beserta tawaran-tawaran bonusNya seperti lailatul qadar. Dapatkah kita bergembira kerana itu di hari lebaran ini? Saya juga mungkin tidak dapat pasti akan hal itu. Nauzubillah. Begitu sedikitnya amalan saya.

Kesempatan yang ada ini, saya sekeluarga mengucapkan Selamat Hari Raya dan Maaf zahir dan batin terhadap segala-galanya terutamanya segala bentuk penulisan di dalam blog ini yang menimbulkan kegusaran dan ketidakpuashatian kepada mereka yang terlibat secara langsung mahu pun tidak.

Selasa, 15 September 2009

Bagaimana nak merapatkan hubungan kaum?


Salam kepada semua. Sudah lama saya tidak menulis kerana banyak perkara yang perlu diselesaikan, yang terpaksa disibukkan mahupun hanya dibuat-buat sibuk. Kerap kali juga cuba mengejar tawaran bonus Allah swt di musim Ramadhan ini, namun kerap kali juga keciciran merebutnya. Ya Allah berilah saya kekuatan. Amin.

Dalam pada memaksa diri untuk menyibukkan diri dengan 'Ramadhan Bonanza', terjeling juga kisah yang tidak sedap didengar, dibaca mahupun dilihat. Dikatakan tahap hubungan kaum di negara kita pada tahap yang sangat rendah. Kenapa ya? Adakah tiada lagi pertimbangan dan toleransi di kalangan kita atau bagaimana? Di musim Ramadhan ini sepatutnya elemen kesabaran telah pun disuntik ke dalam diri masing-masing, adakah seseorang itu perlu suplement tambahan untuk mengawal emosi masing-masing? Wallahu'alam. apa yang pasti kita semua adalah manusia yang cenderung membuat kesilapan dan terdorong dek hawa nafsu yang masih terkesan dan terjajah di jiwa walaupun syaitan-syaitan semua telah dirantai. mungkin sebulan Ramadhan tidak cukup untuk tarbiyah diri, mungkin tak cukup! Tapi adakah kita akan menjadikannya alasan untuk berasa lemah. di masjid2 pada setiap malam, seperti dijangka jemaah semakin berkurangan. Daripada limpahan jemaah di awal ramadhan mengecil menjadi sepertiga atau seperempat sahaja. Mengapa ya? Sebab semuanya kerana nafsu, jawapan yang sudah tahu.

Berbalik kepada isu hubungan kaum yang dikatakan pada tahap terendah tadi, ianya boleh diatasi jika diperhatikan suruhan Allah dibawah:
"Wahai manusia! Sesungguhnya Kami telah menjadikan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah jadikan kamu berbangsa-bangsa dan berpuak-puak supaya kamu berkenal-kenalan. Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah yang paling berbakti dan bertakwa di antara kamu." (Al-Hujurat: 13)

Adakah cukup dengan toleransi antara kaum, rakan saya rasa ianya tidak mencukupi. Kerana toleransi tidak berdasarkan sikap hormat dan menghormati. Toleransi adalah tolak ansur terhadap perkara yang tidak kita setuju. Kelemahannya di disini ialah ianya mempuyai batasan-batasan tertentu. Kita boleh tidak bersetuju terhadap sesuatu perkara tetapi sampai bila untuk kita tidak bersetuju?

Jalan terbaik adalah hormat menghormati berdasarkan firman Allah di atas. Walaupun, Allah menggunakan perkataan "mengenali antara kamu", ianya sudah cukup menjadi dasar kepada sikap hormat itu sendiri. Mana mungkin perasaan hormat itu akan wujud dalam setiap sanubari manusia yang pelbagai latarbelakangnya itu, jika mereka tidak kenal antara satu sama lain. Bila kita kenal mak ayah kita, kita akan 'respect' mereka. Begitu juga dengan rakan-rakan kita, bila kita kenal mereka, makanya kita juga akan menghormati mereka dan sepatutnya dihormati oleh mereka juga. Persoalan yang maha penting ialah: sanggupkah kita membuang sebarang prejudis demi menimbulkan rasa hormat itu?

Apa yang pasti bak kata Redhuan D. Oon, kita semua adalah "pendatang dengan izin"(PADI) dari Allah swt bukannya PATI. Maknanya hidup kita bermatlamat mencari keredhaan Allah atas muka bumi ini.

p/s: Gambar saya (dibulatkan) semasa di tadika. Di kelilingi oleh semua orang yang bukan bangsa melayu.