Rabu, 27 Jun 2012

Belum terhantuk sudah terngadah

Belum terhantuk sudah terngadah. Penyokong dinar dan dirham digemparkan dengan krisis KGT. Orang tu tuduh orang ni, orang ni tuduh yang tu. Tidak kira betapa hebatnya hujah masing-masing, pelaksanaan dinar dirham dalam ekonomi jauh dari dilaksanakan jika tidak disandarkan dengan akhlak. Ekonomi dasarnya ialah akhlak selain akidah dan syariah. Terkandas akhlak terkandaslah pelaksanaan dinar dan dirham. Pandangan saya begitu. Pertelingkahan dua orang kuat KGT telah membuktikannya dan ianya bukan senang untuk menguruskan akhlak masing-masing. Apabila akhlak tercemar, soal tetek benget dibangkitkan. Tercemar akhlak tidak perlu mencuri, tidak perlu juga mencaci. Cukup sekadar berbohong dengan kata-kata indah dan meyakinkan. Kisah KGT adalah kisah untuk semua orang. Bukan kisah dinar dirham Kelantan sahaja. Ia melibatkan sistem konvensional juga. Mari lihat sistem konvensional yang berpaksikan kepada nisbah rizab yang diperlukan (required reserve ratio). Ramai mengutuk sistem ini kerana menjadikan wang sebagai perdagangan. Namun, jika diselusuri pada asalnya adalah satu sistem yang bagus. Rasionalnya, bila kita simpan duit, sebahagiannya harus ditinggalkan sebagai simpanan. Ini satu sistem yang baik kerana ada modal untuk digunapakai atau sebagai dana kecemasan. Namun apa yang terjadi sekarang? Bila sikap tamak menguasai diri, rizab hanya sebagai sandaran semata-mata untuk tujuan perdagangan wang bukan sebagai simpanan yang sebenar. Justeru, bukan persoalan sistem sahaja yang harus direnungi, tetapi siapakah yang layak juga harus jatuh nombor satu pertimbangannya dalam pelaksanaan dinar dirham. Kena ingat, layaknya harus berakhlak dan bebasnya daripada sifat mazmumah. Pendokong dinar dirham harus memahami ini.