Apa perasaan kita apabila kita diberitahu hanya boleh hidup secara saintifiknya selama 6-18 bulan lagi? Terasa dunia ini gelap dan amat kelam sekali. Segala perancangan sebelum ini berkecai dan sia-sia belaka. Perasaan, emosi, psikologi mahupun mental mungkin akan terjelupuk menyembah bumi. Mungkin itulah yang terjadi. Tetapi tidak bagi insan yang bernama Puan Dailiah Tamrin atau juga dikenali Raden Galoh. Beliau saya rasakan amat kuat dan hebat sekali tatkala berhadapan dengan serangan kanser. Bukan sekali serangan itu tetapi 3 kali serangan kanser. Bermula tahun 2004 sehinggalah sekarang, apabila doktor mengesahkan kanser tahap akhir dan hanya boleh hidup sekitar 6-18 bulan lagi, namun ia tidak sedikit pun melemahkan semangat beliau di dalam meneruskan kehidupan. Malah, beliau bersyukur amat sangat, kerana disebalik penyakit kanser yang dialami oleh beliau, pelbagai nikmat tidak terhingga dikurniakan oleh Allah swt sama ada explisit mahupun implisitnya. Perubahan sikap kepada yang lebih baik, keakraban adik beradik, kenikmatan di dalam beribadah dan merasai nikmat tuhan setiap kali bangun dari tidur adalah antara nikmat yang tidak pernah dikecapinya sebelum ini. Saya amat tertarik dengan kata beliau, "kanser bukanlah tentang persoalan kematian tetapi ianya tentang peringatan akan kematian." Dan dalam hal ini, beliau bersyukur, peringatan akan kematian membuatkan dirinya lebih bersedia menemuinya. Begitulah antara sedikit intipati ceramah oleh beliau di UiTM Johor semalam sempena Ceramah Intelektual Siri Ke 6 dan juga sempena bulan Kanser. Saya doakan Puan Dalilah sentiasa tabah dan dikuatkan iman di dalam melawan penyakit kansernya. Sesungguhnya perkara seperti ini betul-betul menginsafkan bagi mereka yang diberi hidayah.
Penulis berbesar hati diberi peluang mempengerusikan majlis