Selasa, 25 Mei 2010

Haram judi kerana Allah

Walau pelbagai logik akal dijadikan alasan untuk mengharamkan judi, sebagai Muslim alasan agung adalah kerana Allah swt yang suruh, bukannya faktor lain. Logik akal sebagai sisipan untuk meyakinkan manusia sahaja. Manusia adalah diketahui memang berakal selalu saja ditewaskan apabila sesuatu itu tidak kelihatan logikal pada pandangan akal mereka. Haramkan judi kerana bantahan orang ramai boleh saja asalkan ianya bukan alasan yang agung. Namun, apabila haramkan judi adalah semata-mata kerana mendapat bantahan ramai itu yang boleh mengganggu gugat akidah sebagai orang Islam.

Menyuruh orang ramai menghentikan perjudian adalah perkara fardu. Tiada pilihan lain. Tiada istilah darurat yang boleh diketengahkan untuk dijadikan pilihan selain pengharamannya dikuatkuasakan. Bukan sekadar hukum tetapi dijadikan undang-undang. Malah agama lain tidak pernah menghalalkan perjudian. Sudah tiba masanya semua negeri di Malaysia membuat perancangan pengunduran terhadap semua premis perjudian yang berlesen apatah lagi yang haram. Perancangan pengunduran ini amat penting untuk mereka yang terlibat secara langsung dengan industri ini merancang perniagaan baru mereka yang tidak lagi berasaskan perjudian. Perancangan pengunduran ini juga penting kerana dari situlah kelicinan untuk menguatkuasakan pengharaman perjudian dapat berjalan dengan sempurna. Antara langkah pengunduran yang boleh dilaksanakan adalah tidak menambahkan lagi lesen perjudian dan juga langkah pengurangan lesen-lesen premis perjudian setiap tahun.

Persoalan yang paling utama sekarang, wujudkah perancangan pengunduran itu di dalam benak sanubari dan minda pemimpin-pemimpin kita (kerajaan mahupun pembangkang) tatkala lesen perjudian sentiasa bertambah setiap tahun? "Lu pikir la sendiri.."

Isnin, 24 Mei 2010

Bukan sekadar Muslim utk jadi peguam syarie

Muslim. Itu adalah pra syarat lisan untuk jadi peguam syarie. Hakikatnya, Muslim saja tidak mencukupi. Peguam syarie mempunyai tugas yang berat. Bukan sekadar "pratice the law" tapi "correcting or fight against syarie law" yang tidak syarie. Masih banyak undang-undang syariah yang memerlukan mujtahid untuk merealisasikan undang-undang syariah yang betul-betul mengikut syariah. Banyak lagi undang-undang yang sepatutnya diperkenalkan tapi masih segan dan malu-malu kucing untuk digazetkan seterusnya dikuatkuasakan. Bagi saya peguam syarie ialah seseorang yang boleh berijtihad, berjihad dengan ilmunya, beristiqamah dengan pendiriannya, seorang yang berjiwa Islam yang mahir dalam ilmu fiqh dan usulnya, seorang yang betul-betul berkemahiran di dalam perundangan Islam dan pelbagai kepakaran lagi. Tidak cukup dengan status "Muslim" sahaja.

Jumaat, 21 Mei 2010

Lakonan "Mr. Shortage" boleh menang grammy award

Beras naik sebanyak 20%-30% walaupun ianya barang kawalan di bawah Perintah Beras (Gred dan Kawalan Harga) 1992 bagi beras super tempatan yang mempunyai 15 peratus beras hancur. Harga jual ditetapkan antara RM1.65 dan RM1.80 per kilogram berdasarkan zon-zon di Semenanjung Malaysia. Namun tidak lagi sekarang. Paling murah adalah RM2.50 sekilogram. Walaupun ianya harga 10% hancur namun hakikatnya tiada lagi beras 15% hancur di pasaran, lalu pengguna sudah lali dengan kenaikan tersebut. Alasan yang diberi adalah pelbagai, namun semuanya berkisar tentang kekurangan penawaran. Saya tidak fikir begitu.
Dalam al-Quran ada disebutkan:
"Dan jika kamu menghitung-hitung nikmat Allah, niscaya kamu tak dapat menentukan jumlahnya. Sesungguhnya Allah benar-benar Maha Pengampun lagi Maha Penyayang."
(18:2)
Dalam ekonomi Islam, tumpuan tidak diberikan kepada klekurangan penawaran atau saya menggelarkannya "mr shortage" kerana ia memang pembawa masalah tetapi lebih kepada cara pengurusan sumber. Dalam ilmu psikologi, apabila ada masalah uruskan bukan beri tumpuan kepada masalah tersebut. Jika ada penawaran yang tidak cukup, itu adalah kerana tindakan-tindakan manusia yang tidak terurus. Mereka gagal menguruskan diri sendiri juga gagal menguruskan sumber-sumber ekonomi. Jangan asyik menyalahkan negara tertentu yang tidak ekspot kat kita mahupun tanah tertentu yang semakin mengecil untuk dikaitkan dengan "mr. shortage" tetapi sebaliknya salahkan diri sendiri kerana tidak terurus dan gagal mengurus. Kegagalan pengurusan inilah yang menyebabkan "mr. shortage" bermaharajalela. Kegagalan itu juga menyebabkan "mr. shortage" sering berkolaborasi dengan pihak tertentu untuk mencipta pelbagai alasan untuk menaikkan harga. Sedangkan telah jelas lagi bersuluh, kemunculan "mr. shortage" hanyalah bersifat sementara sahaja, hanya bersifat bermusim sahaja, seharusnya "mr. shortage" sedar diri, dia tidak diperlukan lagi jika penawaran kembali terurus. "Mr. Shortage" tidak boleh selamanya menipu penduduk dunia bahawa "Mr. Shortage" adalah pengasas mutlak kepada kenaikan harga. Tidak sama sekali.

Dalam kes gula pula lagi pelik, tatkala dunia harganya menurun, Malaysia pula menaikkan harga.
Harga gula dunia

Sabtu, 15 Mei 2010

Jangan kecewa jika kalah Piala Thomas

Memang sudah dijangka Malaysia akan kalah kepada China. Peminat jangan terlalu kecewa. Jangan salahkan pemain atas kekalahan itu. Mereka memang sudah mencuba sedaya upaya. Jika sesiapa memahami memang setakat itulah keupayaan Malaysia. China terlalu kuat. Dalam hal ini salahkan media massa yang melaporkan harapan berbanding realiti.

Sudah tiba Melaysia pandang ke depan. Bangunkan tenaga muda. Jangan harapkan Chong Wei lagi. Lihat China. Mereka ada Du Pengyu dan Chen Yu mahupun Chen Jin yang bila-bila boleh kalahkan Chong Wei. Mereka semua muda lagi. Mana pemain muda Malaysia? Kita dikatakan ada ada pemain muda berbakat seperti Iskandar Zulkarnain. Zufadli Zulkifli dan Ramdan. Bila lagi mereka nak diketengahkan dalam Terbuka Series? Inilah masanya mereka didedahkan dengan realiti sebenar dunia badminton agar mereka cepat matang. Jangan terusan simpan mereka ini dalam skuad pelapis. Jangan asyik berbangga dengan pencapaian di dalam Junior Tournament sahaja. Adakah usia 25 tahun baru mereka nak merasa saingan sebenar? Tatkala itu sudah terlambat dan Malaysia sekali lagi bakal dipenuhi pemain yang berusia seperti yang berlaku sekarang. Ayuh BAM! Ayuh jurulatih! Masa semakin suntuk....

Jumaat, 14 Mei 2010

Harga emas naik, ramaikah pembelinya?

Teori ekonomi mengatakan apabila emas naik harga, bermaksud permintaan tinggi di pasaran. Namun, apabila ia berterusan naiknya makan teori ekonomi juga telah mengatakan permintaan akan balik kepada titik yang asal iaitu permintaan akan menurun dek ketidakmampuan kuasa pembeli akibat harga tinggi yang melampau. Ini hanya berlaku pada barangan yang bukan asasi manusia. Persoalannya adakah emas barangan asasi manusia?

Rabu, 12 Mei 2010

Pasukan Piala Thomas negara paling tidak seimbang

Menonton aksi perlawanan badminton Piala Thomas semalam melalui kaca TV antara Malaysia dan Jepun sangat menyedihkan, dan apa yang orang ramai semua bimbangkan memang menjelma dan sangat terserlah pada aksi semalam.
"Barisan pemain yang paling tidak seimbang pernah dilahirkan oleh skuad Piala Thomas Malaysia" itulah agaknya kesimpulan yang paling sesuai. Apa yang pasti Malaysia tiada pemain perseorangan kedua dan ketiga juga bergu kedua yang betul-betul layak untuk dipertandingkan di gelanggang. Kesemua mereka umpama bertatih dalam dunia badminton terutama aksi bergu kedua Malaysia. Adalah sangat memalukan dan tidak menggambarkan langsung cerita-cerita persiapan yang telah di siarkan di dada akhbar sebelum ini.

Saya merasakan kedua-dua beregu selain Koo-Tan tidak layak berada di skuad piala Thomas kali ini. Sepatutnya letakkan saja beregu veteran Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah. Hafiz pula masih dengan gaya lama beliau. "Selamba seadanya" dan gagal mencari peluang untuk mematikan perlawanan mahupun mengutip mata tatkala peluang terhidang. Saya betul-betul merasakan beliau harus belajar balik ketika di latihan bagaimana hendak membuat pukulan smashing yang efektif. Bukan hendak memandai-mandai tetapi masa 1-2 jam sehari harus diperuntukkan kepada beliau hanya untuk membuat pukulan itu.Ternyata terlalu mendatar, tidak sesuai langsung dengan ketinggian yang beliau miliki. Lihat saja Roberto Carlos dalam sukan bolasepak. Adakah tendangan bak peluru Roberto Carlos dimiliki oleh yang lain, mungkin ada tapi tak ramai. Rahsianya adalah tendangan beratus kali sehari!

Adalah diharapkan tindakan segera perlu diambil untuk memperbaiki keadaan ini. Apapun komentar ini diharap dapat mencelikkan mata sesetegah pihak kerana saya merasakan peminat piala Thomas harus disajikan aksi yang menarik, jika kalah pun biarlah bermaruah. Maaf jika tidak menyenangi komen ini namun saya merasakan rakyat Malaysia yang lain berkongsi perasaan yang sama.