Us. Asri, vokalis kumpulan nasyid Rabbani akhirnya telah kembali menemui Allah swt taala tepat jam 11.05 pagi semalam (menurut apa yg dilaporkan MStar) dengan meninggalkan seribu kenangan, seribu jasa dan seribu usaha-usaha dakwah olehnya yang sukar dicari ganti. Umat Islam haruslah merasai akan kehilangannya dan sepatutnya begitu. Saya sendiri tidak dapat menahan sebak tatkala mengetahui kematian beliau yang saya anggapkan secara tiba-tiba. Beliau saya boleh anggapkan sebagai seniman agung dalam industri nasyid tanahair. Jika ada gelaran yang sesuai baginya, saya merasakan beliau layak menerima anugerah seniman dakwah yang paling efektif. Mana tidaknya pelbagai lagu nasyid yang dinyanyikan beliau sesuai sepanjang zaman dan menepati kepada golongan sasaran.
Terlalu banyak lagu-lagu nasyid yang dialunkan oleh beliau menusuk kalbu dan mempunyai seribu makna yang amat mendalam seperti lagu selimut putih yang mengajak manusia mengingati mati. Di dalam menongkah arus industri muzik yang kebanyakkannya melalaikan, beliau tabah mengharunginya dengan semangat yang tinggi. Walaupun dikelilingi oleh manusia yang tidak sealiran fikrah dengan beliau, namun, perjuangan mengajak manusia ke arah kebaikan dan menjauhkan kemungkaran tidak pernah terhenti di tengah jalan. Perjuangan seperti ini amat-amat dirasakan tatkala kita ketandusan tokoh seperti beliau.
Kematian beliau, sekali lagi mengejutkan peminat nasyid tanahair dan seharusnya mengundang juga pihak-pihak berkaitan untuk turut sama berkongsi kesedihan. Tatkala Yasmin di"tribute"kan, adalah amat wajar sekali Us. Asri bin Ibrahim diberi peghargaan seperti itu juga. Sudikah Media Prima, RTM dan ASTRO berperanan?
Marilah kita bersama-sama membaca al-Fatihah untuk kesejahteraan roh beliau. Al-Fatihah
Tiada ulasan:
Catat Ulasan