Khamis, 23 Disember 2010

Banci: Persoalan-persoalan yang bakal timbul

Banci Penduduk dan Perumahan Malaysia 2010 melalui laporan kiraan awalnya menimbulkan pelbagai intepretasi. Apa yang jelas penduduk Malaysia kini bertambah kepada 27 juta orang namun kadar pertumbuhan penduduk merosot sebanyak 0.43% berbanding tahun bancian sebelumnya (1991-2000). Mungkinkah kadar perkahwinan rendah disebabkan wanita berkerjaya tinggi mahupun lelaki yang terjebak dengan masalah sosial lalu bertapa dipusat-pusat serenti?, Mungkinkah juga disebabkan kadar perceraian tinggi menyebabkan kelahiran anak tidak ramai? Atau mungkinkah penduduk Malaysia semakin ramai membuat perancangan keluarga disebabkan faktor ekonomi?

Kesemua ini mengundang pelbagai intepretasi kepada rakyat Malaysia. Apa yang pasti ia bakal memberi peluang kepada cendekiawan-cendekiawan untuk lebih meneroka angka-angka yang telah dikeluarkan ini. Mereka seharusnya sudah mula memikirkan angka-angka ini untuk menimbulkan bermacam-macam idea di dalam penyelidikan mereka nanti, itupun jika mereka mahu.

Di kesempatan ini, saya mengucapkan selamat kembali mengajar kepada semua pensyarah-pensyarah UiTM dan IPTA yang lain serta guru-guru di seluruh Malaysia.

Ahad, 19 Disember 2010

Kerajaan Obama bakal tumbang?

Membaca artikel John Rubino tentang 3 negeri di Amerika Syarikat bakal bankrap menguatkan lagi hujah bahawa pakej rangsangan bukan jalan terbaik menyelamatkan ekonomi. 3 negeri tersebut bakal mengalami bankrap yang teruk seperti mana yang telah dialami Greece jika tiada sebarang pelan menyelamat dan mahupun pelan meningkatkan kepercayaan para pelabur dapat dibuat. 3 negeri tersebut iaitu New York, California dan Illinois adalah negeri yang dikuasai oleh Parti Demokrat dan lebih memeritkan lagi negeri-negeri ini adalah merupakan sumbangan terbesar kepada kerajaan pimpinan Barrack Obama sekarang sama ada dari segi pengaruh mahupun undi. Agak sukar untuk memulihkan keyakinan penduduk di 3 negeri tersebut kepada kerajaan Obama seperti mana sokongan yang diperolehi Obama pada pilihanraya lepas. Penganalisis meramalkan kongres Amerika Syarikat yang didominasi oleh Demokrat bakal hilang kepercayaan dan begitu juga kerajaan Obama bakal mengalami nasib yang serupa. Pada saya, ini adalah bala bencana kerana berhutang untuk pembangunan bukan cara yang baik dalam mana-mana ekonomi. Mana-mana negara sekalipun tidak seharusnya menjadikan pakej rangsangan melalui terbitan bon dan sekuriti hutang sebagai sandaran utama dan jalan mudah untuk membangunkan ekonomi.

John Rubino ialah penganalisis kewangan dan ekonomi yang terkenal dengan bukunya bertajuk "The coming collapse of dollar and how to take benefit from it"

(sumber asal)

Sabtu, 18 Disember 2010

PTK terakhir


Tamatlah sudah PTK selama 4 hari yang berakhir Khamis lepas. Setelah berusaha keras bersengkang mata dan masa menyiapkan tugasan yang diberi, akhirnya PTK terakhir dalam sejarah perkhidmatan awam berjaya disudahkan. Tiada lagi PTK selepas ini. Apapun, bagi sesiapa yang beroleh aras 4 tetap dijanjikan anjakan gaji namun bagaimanakah nasib mereka yang mendapat aras 3? Mereka ini sudah tentu tidak mendapat peluang kedua sebagaimana rakan-rakan mereka yang lain pada PTK yang lepas. Ada yang merungut tentang keadaan ini, setiap kali perubahan polisi sudah tentu ada yang menjadi mangsa. Mereka ini sudah balik awal. Kalah sebelum bertarung dan sudah angkat beg meninggalkan PTK, dengar-dengarnya. Tapi bagi sebahagian besar yang lain pula mereka tetap redha dan menganggapnya sebagai satu 'vacation' ilmu dan tempat perjumpaan sosial teman-teman yang lama mereka tak jumpa dari kampus-kampus yang lain. Tempat pertukaran ilmu juga kerana pelbagai idea dapat dikongsi bersama daripada pelbagai displin ilmu . Memang amat berbaloi sebenarnya namun ini hanya dapat dirasai bagi mereka yang mencintai ilmu. Apapun, selamat kembali ke kampus masing-masing dan mudah-mudahan kesemuanya beroleh aras 4. Marilah berdoa....

Jumaat, 3 Disember 2010

Ron 95 naik 5 sen lagi, bertukarlah ke NGV dan Dinar

Ada yang kata subsidi 5 sen dikurangkan bagi petrol dan 20 sen bagi gula tapi hakikatnya harga petrol dan gula naik masing-masing 5 sen dan 20 sen. Ayat-ayat manis itu pandai diolah untuk meredakan kebimbangan pengguna yang hakikatnya tidak rela. Kenaikan ini amat mendukacitakan berdasarkan janji Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa petrol tidak dinaikkan sehingga tahun depan.Dengan kenaikan tersebut yang bermula tengah malam ini, beberapa barangan pengguna yang lain dijangka terus meningkat. Adalah diharapkan pihak berkuasa tempatan dapat mengawal harga barangan pengguna dengan jayanya dan bermulalah kehidupan penguatkuasa yang pasti akan sibuk. Jika berjaya memantau, rakyat akan lebih mudah menerimanya, tapi jika gagal, rakyat pasti akan menghukum. Terpulang kepada mereka yang terlibat dan apa yang pasti, bagi mereka yang memandu jauh ke tempat kerja, NGV adalah pilihan terbaik. namun bagi penyelesaian jangka panjang, bertukarlah ke dinar. Wallahua'lam.