Jumaat, 23 Julai 2010

Mengapa Mufti Wilayah mengharamkan ESQ

Saya ada menerima emel daripada sahabat saya yang bekerja di JAWI tentang fatwa pengharaman ESQ. Dengan semangat keintelektualan dan ilmiah marilah kita sama-sama meneliti hujah mereka.

KENYATAAN BERHUBUNG DENGAN FATWA PENGHARAMAN ESQ
Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan telah mengikuti respons daripada orang ramai berhubung dengan pewartaan Fatwa Berkenaan Dengan Kursus ESQ Leadership Training Dan Fahaman yang seumpama dengannya yang dikeluarkan pada 17 Jun 2010. Berikut ini adalah
penjelasan mengenai beberapa perkara berbangkit berhubung dengan pewartaan tersebut.
2. Pengeluaran fatwa di Wilayah Persekutuan perlu dilihat dalam dua konteks; daripada segi hukum syarak dan Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 atau Akta 505.
2.1 Daripada segi hukum syarak, pelantikan Mufti hukumnya fardu kifayah. Apabila seseorang itu telah dilantik sebagai Mufti, menjalankan tugas memberi fatwa adalah fardhu ‘ain baginya. Fatwa bererti : memberitahu hukum syarak pada sesuatu perkara
yang berlaku. Pengeluaran fatwa dibuat melalui proses ijtihad. Malah Imam al-Syaukani mentakrifkan fatwa sebagai ‘al-ijtihad’.Wajib bagi seseorang Mufti berpegang dengan pendapat ijtihadnya, dan haram baginya mengikut pendapat orang lain yang berbeza dengan ijtihadnya. Hukum ini adalah ijmak (disepakati) di
kalangan ulama.

2.2 Daripada segi undang-undang, Perkara 33 Akta 505 menyebut mengenai kuasa Mufti seperti berikut :

2“Mufti hendaklah membantu dan menasihati Yang di Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara Hukum Syarak, dan dalam semua perkara sedemikian hendaklah menjadi pihak berkuasa utama di Wilayah-Wiilayah Persekutuan selepas Yang di Pertuan Agong, kecuali jika diperuntukkan selainnya dalam Akta ini“.

Mengenai Fatwa, perkara 34 menyebut :
“(1) Mufti hendaklah, atas perintah Yang di Pertuan Agong, dan bolehlah, atas kehendaknya sendiri atau atas permintaan manamana orang yang dibuat melalui surat yang ditujukan kepada Mufti,membuat dan menyiarkan dalam Warta satu fatwa atau pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atas yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubungan dengan Hukum Syarak.
(2) Tiada pernyataan yang dibuat oleh Mufti boleh diambil sebagai fatwa melainkan jika dan sehingga pernyataan itu disiarkan dalam Warta menurut subseksyen (1).
(3) Apabila disiarkan dalam Warta, sesuatu fatwa hendaklah mengikat tiap-tiap orang Islam yang bermastautin di Wilayah-Wilayah Persekutuan sebagai ajaran agamanya dan hendaklah menjadi kewajipannya di sisi agama untuk mematuhi dan berpegang dengan fatwa itu melainkan jika dia dibenarkan oleh Hukum Syarak tidak mengikut fatwa itu dalam perkara-perkara amalan, kepercayaan, atau pendapat peribadi.”

3. Perkara 37 memperuntukkan penubuhan Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak bagi membantu Mufti dalam mengeluarkan fatwa. Tidak terdapat dalam Bahagian 111 Akta
505 ini apa-apa peruntukan bahawa Mufti perlu menunggu atau patuh kepada keputusan daripada mana-mana pihak. Ini bertepatan dengan hukum syarak seperti yang disebutkan di atas. Mengenai hubungan dengan Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia, dalam Akta 505 tidak terdapat apa-apa peruntukan yang menyentuh mengenai hal ini. Mungkin pihak lain dapat memberi penjelasan berkaitan
dengan perkara ini.

3. Proses Pengeluaran Fatwa ESQ

3.1 Proses pengeluaran Fatwa di atas oleh Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan bermula sejak 1 Ogos 2008, apabila Cawangan Akidah, Bahagian Penyelidikan JAKIM memulakan Kajian ekoran aduan orang ramai berhubung dengan status Kursus tersebut. Hasil Kajian ini telah dibentangkan dalam Mesyuarat Panel Kajian Akidah JAKIM (PKA) sebanyak 5 kali bermula daripada 27 ogos hingga 10 Februari 2009. Dalam masa tersebut, pihak JAKIM juga telah mengadakan pertemuan dengan pengasas ESQ, Ary Ginanjar Agustian.

3.2 PKA akhirnya memperakukan bahawa Kursus ESQ Leadership Training disekat dan diharamkan beroperasi di negara ini.

3.3 Kertas Kerja berkenaan Kursus ESQ dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali ke 86 pada 21 – 23 April 2009. Namun tiada keputusan muktamat dicapai.

3.4 Selain daripada kajian di atas, terdapat kajian daripada IKIM dan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan yang memperakukan bahawa Kursus ini tidak sesuai dan mengandungi penyelewengan akidah.

4. Berasaskan fakta-fakta di atas, saya telah beroleh kesimpulan yang menyakinkan mengenai penyelewengan yang terdapat dalam Kursus ESQ. Dengan itu menjadi wajib bagi saya sebagai Mufti Wilayah Persekutuan mengeluarkan fatwa bagi memberitahu masyarakat Islam tentang perkara-perkara yang merosakkan akidah yang terdapat di
dalamnya. Maka pada 17 Ogos 2009, Mesyuarat Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Presekutuan kali ke 75 telah diadakan dan memutuskan pengharaman Kursus ESQ Leadership Training anjuran Ary Ginanjar Augustian.

5. Sementara itu, JAKIM juga telah menubuhkan Panel Pemantau ESQ untuk membuat kajian lanjut yang dianggotai oleh 6 orang Pensyarah daripada Universiti-Universiti Tempatan. Laporan penuh Panel ini dibentangkan dalam Muzakarah Jawatankuasa Fatwa
Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia ke 90 pada 1 Mac 2010. Perakuan Panel ini adalah sama dengan penemuan PKA bahawa kursus ini menyeleweng dan perlu di sekat daripada beroperasi di Malaysia.

6. Berasaskan apa yang telah dibentangkan di atas, jelas bahawa Fatwa berkenaan dengan Kursus ESQ telah dibuat dengan teliti, mengikut hukum syarak dan undang-undang yang berkuatkuasa di Wilayah Persekutuan. Saya tidak nampak apa-apa alasan untuk mengenepikan keempat-empat kajian di atas dengan membuat keputusan yang berlainan daripada apa yang diperakukan. Dalam keadaan ini, menjadi fardhu ‘ain bagi saya mengeluarkan fatwa mengikut pendapat yang saya yakin, dan haram mengikut pendapat orang lain walaupun ramai bilangan mereka. Selain daripada itu, masa
dua tahun yang diambil sebenarnya terlalu lama dan tidak selaras dengan dasar meningkatkan kecekapan sistem penyampaian di kalangan kakitangan kerajaan.

7. Mengenai penyelarasan dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan, sebenarnya banyak keputusan yang dibuat oleh Jawatankuasa ini tidak diselaraskan di peringkat negeri walaupun keputusan dibuat secara konsensus. Misalnya, keputusan harus melantik wanita menjadi Hakim Syarie yang dibuat pada
Muzakarah yang diadakan pada 4 – 5 April 2006. Terdapat negeri yang membuat keputusan sebaliknya, iaitu ‘tidak harus’. Dalam istilah fikah ia bermakna haram. Adalah sukar difahami mengapa Fatwa yang satu ini ditekankan sangat soal penyelarasan.

8. Mengenai Panel Syariah ESQ, menurut Kenyataan Rasmi Syarikat ini Bil. 02/2010, ia ditubuhkan pada September 2009. Banyak tandatanya di sebalik penubuhan Panel ini. Pertamanya, ESQ telah beroperasi di Indonesia sejak 10 tahun yang lalu tanpa Panel Syariah. Setelah dibawa masuk ke Malaysia dan sepanjang kajian oleh Bahagian
Penyelidikan JAKIM yang bermula Ogos 2009, dan sehingga

6
Jawatankuasa Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan mengharamkannya pada 17 Ogos 2009, Panel ini belum ditubuhkan. Ia hanya ditubuhkan tidak sampai sebulan ESQ diharamkan. Penubuhannya dalam keadaan seperti ini mengundang pelbagai pertanyaan. Dan bagaimana pula dengan perkara kufur yang terdapat dalam buku ESQ yang edarannya hingga kini melebihi 800 ribu naskhah mengikut cetakan terbaru (Ke 44 Mac 2010). Selain daripada itu, mampukah Panel Syariah berada di setiap Sesi Kursus yang diadakan di merata tempat di seluruh dunia. Saya mendapat respons daripada seorang sahabat warganegara Malaysia yang tinggal di Amerika Syarikat memberitahu beliau pernah menghadiri sesi demonstrasi ESQ di sana. Dan banyak lagi pertanyaan lain yang saya serahkan kepada kebijaksanaan pembaca sekelian membangkitkannya.

9. Tentang kritikan bahawa saya tidak wajar membuat keputusan kerana belum menghadiri Kursus ESQ seperti Mufti-Mufti lain. Perkara ini sebenarnya berkaitan dengan metodologi penyelidikan dan penyiasatan, khususnya terhadap pembawa ajaran sesat. Untuk tidak menyeret isu ini kepada perbahasan ilmiah, saya suka mengembalikan
ingatan pembaca sekalian kepada keputusan mengharamkan beberapa kumpulan sesat seperti Al-Arqam dan ajaran Ayah Pin. Adakah para Mufti diperlukan menjadi pengikut Abu Ya atau Ayah Pin terlebih dahulu sebelum membuat keputusan? Apakah oleh kerana ESQ mengadakan kursus-kursusnya di hotel-hotel bertaraf lima bintang, maka diperlukan
para Mufti menghadirinya terlebih dahulu. Tetapi memandangkan Ajaran Al-Arqam dan Ayah Pin diadakan di pendalaman, maka syarat ini tidak diperlukan. Saya berpendapat amalan “double standard” seperti ini tidak sesuai bagi para Mufti yang diamanahkan untuk menjaga syariat Allah yang Maha Suci. Oleh itu tidak ada keperluan bagi saya untuk menjadi pengikut “Ayah Ary” terlebih dahulu sebelum membuat keputusan.

10. Huraian lanjut berhubung dengan sepuluh perkara yang boleh merosakkan akidah itu akan dibuat melalui Laman Web Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan. Akan didedahkan juga bagaimana Danah Zohar,Yahudi dari Amerika Syarikat begitu reda dengan “Islam” yang di bawa oleh Ary Ginanjar melalui bukunya ESQ.

Sekian, terima kasih.

DATUK WAN ZAHIDI BIN WAN TEH
Mufti Wilayah Persekutuan
16 Julai 2010

Tiada ulasan: