Rabu, 12 Mei 2010

Pasukan Piala Thomas negara paling tidak seimbang

Menonton aksi perlawanan badminton Piala Thomas semalam melalui kaca TV antara Malaysia dan Jepun sangat menyedihkan, dan apa yang orang ramai semua bimbangkan memang menjelma dan sangat terserlah pada aksi semalam.
"Barisan pemain yang paling tidak seimbang pernah dilahirkan oleh skuad Piala Thomas Malaysia" itulah agaknya kesimpulan yang paling sesuai. Apa yang pasti Malaysia tiada pemain perseorangan kedua dan ketiga juga bergu kedua yang betul-betul layak untuk dipertandingkan di gelanggang. Kesemua mereka umpama bertatih dalam dunia badminton terutama aksi bergu kedua Malaysia. Adalah sangat memalukan dan tidak menggambarkan langsung cerita-cerita persiapan yang telah di siarkan di dada akhbar sebelum ini.

Saya merasakan kedua-dua beregu selain Koo-Tan tidak layak berada di skuad piala Thomas kali ini. Sepatutnya letakkan saja beregu veteran Choong Tan Fook dan Lee Wan Wah. Hafiz pula masih dengan gaya lama beliau. "Selamba seadanya" dan gagal mencari peluang untuk mematikan perlawanan mahupun mengutip mata tatkala peluang terhidang. Saya betul-betul merasakan beliau harus belajar balik ketika di latihan bagaimana hendak membuat pukulan smashing yang efektif. Bukan hendak memandai-mandai tetapi masa 1-2 jam sehari harus diperuntukkan kepada beliau hanya untuk membuat pukulan itu.Ternyata terlalu mendatar, tidak sesuai langsung dengan ketinggian yang beliau miliki. Lihat saja Roberto Carlos dalam sukan bolasepak. Adakah tendangan bak peluru Roberto Carlos dimiliki oleh yang lain, mungkin ada tapi tak ramai. Rahsianya adalah tendangan beratus kali sehari!

Adalah diharapkan tindakan segera perlu diambil untuk memperbaiki keadaan ini. Apapun komentar ini diharap dapat mencelikkan mata sesetegah pihak kerana saya merasakan peminat piala Thomas harus disajikan aksi yang menarik, jika kalah pun biarlah bermaruah. Maaf jika tidak menyenangi komen ini namun saya merasakan rakyat Malaysia yang lain berkongsi perasaan yang sama.

Tiada ulasan: