Selasa, 20 Oktober 2009

Jahiliyyah umpama semak


Apa itu semak? Semak dalam bahasa mudah saya bolehlah ditakrifkan (ikut akal sendiri) ialah 'sekumpulan' rumput rampai mahupun pepohon yang tidak dikehendaki oleh manusia. Semak menandakan kawasan itu jarang dibersihkan. Semak juga menyakitkan pandangan mata dan selayaknya ditebas dan dicantas agar tanpanya kawasan menjadi indah. Agar tanpanya kawasan persekitaran menjadi bebas sebebas-bebasnya daripada tempat habitat liar seperti ular, lipan dan segala serangga mahupun binatang berbahaya yang tidak dikehendaki manusia. Walaupun semak itu terdiri daripada pelbagai spesis rumput rampai, lalang-lalang mahupun pohon-pohon kecil yang menghijau, namun ianya amat-amat tidak dikehendaki. Nampak hijau tapi tidak menawan dan tertawan bagi sesiapa yang memandangnya. Bohong kalau ada orang kata semua benda hijau itu sejuk mata memandang. Nah,benda hijau ini terkecuali. Benda hijau ini perlu dihapuskan agar hanya benda hijau yang betul-betul hijau dari segi lahiriah dan batiniah sahaja dibenarkan tumbuh dan 'survive' lalu ianya secara automatik akan disusuli warna-warna ceria yang lain dalam pelbagai bentuk yang asyik lagi mengasyikkan seperti merah, kuning, biru, ungu dan sebagainya yang mana akan tumbuh di atasnya mahupun dicelah-celahnya.

Semak ini sememangnya tidak lebih hanya pengacau kepada tumbuhan dan pepohon bunga yang cantik dan mekar. Pepohon yang sentiasa menjadi idaman bagi orang berusaha membajanya. Jangan harap nakkan hasilnya jika tanpa berusaha bersungguh-sungguh hendak mendapatkan hasilan yag cantik dan mekar itu. Hanya mereka yang pemalas, lesu dan tak nak ambil tahu sahaja berasa tidak kisah jika semak bermaharajalela di kawasan belakang rumahnya mahupun di kebun-kebun dan kawasan sekitarnya. Namun, bagi menutup kemalasan mereka, ada juga segelintir daripada golongan itu menyuruh orang lain untuk menebasnya kerana tidak cukup masa, katanya. Orang seperti ini boleh tahan juga akan kepintarannya. Tapi sebenarnya tidak kekal lama kerana terlalu bergantung kepada orang lain dan lama kelamaan akan menjadi tidak efisen dek kos yang sentiasa dikeluarkan pada setiap kali hendak membersihkanya. Sikap ini hanya baik pada jangka masa pendek sahaja. Sesudah itu dibiarkan terbiar berbulan lamanya. Lalu, menjadilah ia semak semula. Mereka ini langsung tiada konsisten. Hanya merasa sekejap saja akan ketidakselesaan terhadap semak-semak itu. Selepas itu, kembali kepada perangai lama, tidak mahu membersihkannya. Katanya, tak cukup duit nak mengupah orang untuk menebasnya. Memang pun begitu. Mana nak larat asyik upah sahaja kerjanya. Kalau diracun lama juga bertahannya tapi semak itu bermaharajalela semula malah lebih dahsyat lebatnya daripada sebelumnya. Kalau duit banyak?Haa yang itu cerita lain. Itu 'exception'. Ini cerita yang 'normal' dan 'average' sahaja.

Berbalik semula cerita tadi. Orang seperti ini (selesa dan tidak kisah akan semak samun)amat malas hendak menggunakan tulang empat kerat mereka kendatipun sihat walafiat. Kenapa nak tunggu orang baru semak itu dapat dibersihkan? Orang ini amat bergantung pada orang. Tapi kena ingat orang lain bersihkan semak untuk kita tak sama dengan kita bersihkan. Jika kita rajin sudah tentu kita akan buat bersungguh-sungguh. Mungkin kita bukan setakat menebasnya sahaja, malah kita akan mencabutnya sehingga ke akar-akarnya sekali agar semak itu tak mudah nak tumbuh semula. Itu bezanya kita jika kita buat sendiri dengan orang lain buat. Lepas itu kita akan cabut balik sehingga kita berasa ghairah dan akhirnya menjadi satu budaya pula. budaya mencabut rumput..! huhu.. Apa yang saya merepek ni??...

Tidak tuan-tuan. Ini bukan merepek. Ini analogi. Dalam dunia realiti, semak itu adalah kejahilan kita. Semak itu jugalah maksiat yang berleluasa di persekitaran kita dan juga sikap mazmumah yang telah berakar umbi terlalu lama dalam batang tubuh diri kita. Adakah kita hendak berasa selesa dengan kejahilan dan kemaksiatan itu?. Ingatlah sabda nabi, proses membasmi kejahilan bermula daripada buaian hinggalah ke liang lahad. Kejahilan adalah akar kepada kemusnahan dan kemaksiatan. Ianya umpama semak yang wajib ditebas. Ianya mesti membuatkan kita berasa amat tidak selesa akan kewujudannya.

2 ulasan:

Ibnu Abas berkata...

Menyemak sungguh semak-semak di negara kita ni

Tanpa Nama berkata...

Setuju benar ustaz,
Semak ada dimana-mana.Terutama di belakang rumah. Kadang kala ada di hadapan rumah. Mungkin terlepas pandang. Kesan daripada terlepas pandang atau sikap tidak peduli dari peringkat awal maka jadinya hutan. Atau bertaburan semak-semak di tepi jalanan dari Perlis hingga ke Johor. Tiap-tiap negeri mempunyai kawasan yang berkemungkinan tertumbuhnya semak-semak . Yang paling di takuti 'lalang' dimana akarnya tidak pupus walaupun di racun dan di bakar. Harapan ustaz dan saya adalah sama. Menggantikan dengan tumbuhan-tumbuhan yang benar-benar bermakna kepada kehidupan.