Ahad, 19 Julai 2009

Dataran MBMB: Tempat memadu asmara?


Saya jarang dan agak malas keluar rumah di malam hari kerana merasakan waktu malam adalah waktu yang teramat signifikan untuk berehat bersama keluarga dan anak-anak. Tambahan pula perjalanan jauh ke tempat kerja (Melaka-Segamat) membuatkan keluar di malam hari suatu perkara yang membazir. Namun semalam, kerana ada benda yang hendak dibeli di JJ (nama manja bagi Jaya Jusco) kami sekeluarga pergi juga. Semasa perjalanan, kami lihat pemandangan yang indah di malam hari di sekitar Dataran Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) dengan lampu neon putih dan biru menghiasi pokok-pokok rendangnya. Ditambah pula dengan layar TV yang besar di atas bangunan MBMB, menjadikan tempat itu sangat santai. Mengasyikkan juga apabila melihatnya. Maka tidak menghairankan, ramai penduduk Melaka dan sekitarnya membawa keluarga masing-masing berpusu-pusu ke sana menikmati panorama tersebut. Parking kereta penuh di sekitarnya.

Namun, tidak kurang ramai juga, muda-mudi berpacaran di tengah-tengah cahaya kelam dataran tersebut. Bukan seorang dua pasangan, tetapi begitu ramai yang saya perhatikan di kalangan mereka di sana. Sesuatu pandangan yang tidak sepatutya berlaku. Yang peliknya, ramai pasangan muda mudi adalah orang Melayu dan tidak di kalangan kaum-kaum yang lain. Mungkin tempat mereka bukan di situ!.Apapun, saya merasakan, budaya sebegini tidak boleh dibiarkan berterusan. Mungkin CCTV dan JAIM dialu2kan untuk membuat pemantauan sebagaimana kata mereka, tetapi saya tidak nampak keberkesanannya kerana CCTV tidak mungkin dapat memerhatikan setiap gerak geri pasangan tersebut dan bodohlah mereka membuat aksi sebegitu di depan CCTV. Walaupun, saranan itu telah dilaksanakan sejak Mac lepas, saya tidak nampak keberkesanannya melainkan golongan muda mudi Islam Bumiputera berterusan memadu asmara bersaksikan lampu neon putih biru di pepohon nan rendang. Tak percaya? Jom pergi ke sana malam minggu..

Tiada ulasan: