Selasa, 16 Februari 2010

Caj Penalti Agrobank Tinggi (Aduan pelanggan)

SAYA merupakan salah seorang pelanggan Agrobank yang membuat pembiayaan peribadi islamik dengan bank berkenaan. Saya ingin menyampaikan rasa tidak puas hati saya berkenaan kadar caj penalti yang dikenakan oleh Agrobank kepada pelanggannya yang menyelesaikan pinjaman lebih awal jika makluman berkenaan penyelesaian tidak mencukupi 3 bulan.

Pada bulan November 2009 saya telah mengemukakan pertanyaan berkenaan baki pinjaman yang perlu dilangsaikan jika saya ingin menyelesaikannya lebih awal dan saya sangat terperanjat apabila dimaklumkan akan ada caj penalti sebanyak 30 peratus daripada jumlah rebat jika pinjaman berkenaan diselesaikan kurang daripada 3 bulan dari tempoh notis.

Untuk mendapatkan kepastian, saya telah menghubungi pihak Cawangan Utama dan pengesahan semula telah dilakukan di cawangan yang berdekatan. Terbukti memang caj berkenaan dikenakan kepada mana-mana pelanggan yang tidak memberikan 3 bulan notis ataupun notis yang dikemukakan kurang 3 bulan.

Makluman berkenaan caj berkenaan hanya berada di bank sahaja dan bukannya berada di dalam dokumen perjanjian.

Saya secara sinisnya pernah ditegur oleh salah seorang pegawai bank agar menyelesaikan pinjaman selepas 3 bulan surat berkenaan bagi mengelakkan dikenakan caj 30 peratus itu.

Sebagai pelanggan, saya faham pihak bank akan mengalami gangguan margin disebabkan tindakan penyelesaian awal saya ini dan mereka berhak mengenakan sedikit penalti untuk menampung kos berkenaan.

Namun apa yang menghairankan saya adalah nilai caj 30 peratus berkenaan adalah terlalu besar dan seolah-olah rebat atau ibra'yang diberikan kepada pelanggan ditarik balik sebahagiannya.

Pengalaman membuat pinjaman secara islamik sebelum ini juga menunjukkan bahawa di dalam dokumen perjanjian akan dinyatakan secara khusus caj penalti berkenaan bagi kes penyelesaian tanpa notis 3 bulan samada dalam bentuk caj sekitar 1 hingga 5 peratus ataupun gantian 3 bulan notis.

Ini mengakibatkan saya menjadi keliru dan rasa tertipu kerana bank boleh mengolah apa sahaja terma kerana ianya memang tiada di dalam perjanjian. Aduan telah dikemukakan dan dikatakan perkara ini akan dibincangkan di peringkat yang lebih tinggi.

Namun sehingga hari ini belum ada sebarang berita yang diterima kecuali emel makluman sahaja.

Mungkin bagi sesetengah orang nilai caj berkenaan tidak seberapa, tapi cuba bayangkan kalau jumlah rebet berkenaan contohnya RM 50,000; penaltinya sahaja mencecah RM 15,000 seolah-olah membayar faedah seperti meminjam dengan ahlong.

Perkara sebegini jika diteliti akan mengakibatkan pelanggan-pelanggan akan hilang kepercayaan kepada Bankdan juga secara tidak langsung hilang kepercayaan kepada sistem perbankan Islam yang sepatutnya tiada unsur keraguan atau gharar.

CM response:
Kerajaan harus mengetatkan pengawasan terhadap bank terutamanya yang bukan full fledge Islam seperti agrobank ini. Jika benar, BNM harus masuk campur supaya golongan kapitalis ini tidak terus-terusan menghisap darah pengguna.

Tiada ulasan: