Pada tanggal 13 Jun lepas, masyarakat Islam kehilangan seorang lagi ulama besar iaitu Sheikh Dr. Fathi Yakan. Dalam keriuhan masyarakat dunia membicarakan autopsy kedua ke atas mayat Micheal Jackson, sekali lagi masyarakat Islam terlupa akan berita kematian Fathi Yakan. Kepada sesiapa yang tidak mengenali beliau, beliau adalah tokoh pergerakan Islam yang buku-bukunya banyak dibaca dan menjadi referensi para aktivis pergerakan Islam Indonesia dan Malaysia di awal-awal tahun 80-90an.
Syeikh Fathi Yakan seorang ulama Islam lahir pada tahun 1933 di Tripoli. Dia pernah menjawat jawatan sebagai anggota parlimen di Lebanon pada tahun 1992. Ia terlibat dalam kerja-kerja dakwah di Lebanon pada pertengahan tahun 1950-an dan merupakan pelopor pembentukan gerakan Islam di sana. Syeikh Fathi Yakan juga tidak terlepas dari gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir. Beliau juga pengasas kepada sebuah universiti swasta di Lebanon iaitu Jinan University. Beliau juga telah mengarang sebanyak 35 buah buku yang kebanyakannya diterjemahka ke pelbagai bahasa.
Salah satu bukunya yang cukup fenomenal yang terbit pada tahun 90-an adalah Aids Haraky - sebuah buku yang banyak menyindir dan mengkritik gerakan-gerakan Islam yang terlalu banyak berbicara politik daripada Islam itu sendiri.
Sebaliknya, berita kematian Fathi Yakan ini mendapat tanggapan yang sepi dari dunia Islam. Banyak umat Islam yang tidak mengetahui kematian beliau. Bahkan ketika ditanya, banyak pula yang menjawab, “Fathi Yakan? Fathi Yakan siapa?”. Fathi Yakan, didoakan oleh seantero dunia Islam. Jacko, ditangisi oleh penggemarnya. Al-fatihah buat beliau moga Allah membalas beliau dengan balasan syurga. Ameen.