Rabu, 31 Mac 2010

MCA oh MCA

Saya meramalkan MCA bakal sekali lagi menghadapi krisis kepimpinan yang baru setelah Chua Soi Lek dan Liow Tiong Lai diumumkan sebagai Presiden dan Timbalan Presiden MCA. Walaupun calon yang menang dikhabarkan adalah bercampur-campur antara team A dan team B, namun ianya tidak boleh dianggap lagi sebagai perpaduan di dalam MCA. Ini kerana, penyokong antara team A dan team B adalah sama ramai dan mereka ini boleh berubah hati dalam sekelip mata sahaja terhadap pemimpin mereka. Ini terbukti mereka meletakkan Tee Kita ditangga terbawah sekali di dalam saingan 3 penjuru untuk merebut kerusi presiden, sungguhpun beliau menang besar pada pemilihan sebelum ini sebagai presiden. Jelasnya, perbuatan Chua Soi Lek yang menyimpan perempuan simpanan bukanlah isu besar dalam masyarakat cina tapi sebaliknya tindak tanduk Tee Kiat yang menikam dari belakang terhadap kawannya Tiong Lai membawa bencana besar kepada beliau dan hal ini lebih mendapat tumpuan dikalangan perwakilan. Hasilnya, Tiong Lai mendapat manfaat yang besar dan beliau menang atas dasar simpati perwakilan dan mungkin juga pendirian Tiong Lai yang teguh mempertahankan keputusan memecat Soi Lek, bukannya prestasi beliau yang masih belum teruji sepenuhnya. Walaupun, masyarakat umum yang lain mengharapkan Tee Kiat terus memimpin MCA kerana keberanian beliau membongkar masalah dalaman PKFZ, itu masih lagi belum memadai. Masyarakat MCA masih melihat beliau sebagai duri dalam daging di dalam perpaduan parti MCA. PKFZ itu soal kerajaan bagi mereka bukannya MCA.

Sebagaimana maklum, Soi Lek tidaklah mempunyai rekod yang baik di dalam menjalankan kehidupan sebagai kawan dengan Tiong Lai. Ini kerana beliau dengan mudahnya menempelak Tiong Lai untuk beliau meletakkan jawatan sebagai Timbalan Presiden yang lepas bagi membolehkan pemilihan MCA yang baru diadakan. Beliau ada kata "saya tidak akan mengikut rentak beliau di dalam hal ini dan berharap Tiong Lai tidak memaksanya untuk menentukan tarikh bila dia akan meletakkan jawatan". Tiong Lai pula bersekongkol dengan Tee Kiat untuk memecat Soi Lek apabila video Soi Lek itu dibongkarkan sebelum akhirnya Tiong Lai pula dikeluarkan oleh Tee Kiat daripada jawatankuasa pusat MCA kerana mempertahankan keputusan sebelumnya iaitu memecat Soi Lek. Ini jelas satu perbuatan yang tidak boleh diterima oleh Soi Lek. Adakah rentetan peristiwa ini akan menjadikan mereka lebih matang atau hanya masa menentukan sama ada MCA bakal menghadapi satu lagi krisis. Terpulang kepada kebijaksanaan Soi Lek di dalam mengemudi MCA selepas ini. Apa yang pasti, pengundi melayu sudah tentu tidak mengundi beliau jika beliau dicalonkan di dalam pilihanraya akan datang. Musuh-musuh politik pula sudah pasti menjadikan isu ini sebagai modal mereka di dalam pilhanraya akan datang dan mereka pasti mengharapkan kesudahan yang dramatik. Mereka mahu melihat rentetan peristiwa yang mendatang di dalam MCA akan berakhir dengan tragedi!

Tiada ulasan: