Ahad, 7 Mac 2010

Bengkel IKaZ: Takrif asnaf diperluaskan


Jumaat lepas, penulis berpeluang menghadiri Bengkel Kajian Zakat anjuran IKaZ UiTM di KL International Hotel. Bengkel sehari itu dibarisi dengan pembentang-pembentang yang berpengalaman di dalam membicarakan hal ehwal zakat termasuklah tokoh Maal Hijrah tahun 1431 Hijrah yang lepas iaitu Dato' Paduka Prof. Dr. Mahmood Zuhdi Abd Majid. Seperti biasa beliau membentangkan kertas kerja dengan cara beliau tersendiri disulami dengan sinis yang amat tajam yang membawa renungan bersama barisan pembentang dan peserta bengkel.

Apa yang menarik dalam bengkel ini, perluasan takrifan asnaf telah diperluaskan mengikut kesesuaian masa dan tempat. Seperti contoh, takrifan muallaf ketika ini seharusnya ditumpukan kepada golongan cina yang kaya kerana itulah cara yang paling cepat untuk melebarkan pengaruh Islam ketika ini. Contoh yang diambil ialah tindakan yang telah dilakukan semasa zaman Saidina Umar al-Khattab. Muallaf yang baru masuk Islam tidak lagi diperuntukkan kerana tatkala itu pengaruh Islam sudah kuat dan mereka menumpukan kepada golongan bangsawan dan pemerintah bukan Islam yang mempunyai potensi untuk diIslamkan. Kemasukan mereka bukan sahaja boleh membawa kekayaan mereka untuk Islam bahkan pengikut mereka juga.

Tatkala Islam dilabel keganasan, mana-mana individu yang kaya bukan Islam boleh dilembutkan hati mereka untuk masuk Islam dan seterusnya membawa masuk kekayaan yang diperolehinya untuk kekuatan Islam. Asnaf fi Sabilillah pula tidak hanya menumpukan kepada perang di jalan Allah. Adakah perang sebenar-benar dengan mengangkat senjata di jalan Allah masih berlaku ketika ini. Kecuali Palestin, tidak banyak dana yang boleh diperuntukkan di dalam konteks Malaysia itu sendiri. Ia jelas tidak begitu mendesak, dengan itu, takrifan haruslah diperluaskan dan ditakrif semula untuk kesesuain zaman dan masa.

Selain itu, asnaf amil haruslah diberi keutamaan kepada mereka yang tinggal sekali dengan golongan fakir dan miskin di dalam komuniti mereka dalam tempoh yang lama supaya golongan tersebut dapat lari dari status mustahik (golongan memerlukan) kepada status muzakki (golongan berdikari). Kalau sekarang, amil itu hanya menjurus kepada pengutip zakat semata-mata, adalah diharapkan ansaf amil ini harus berstatus "aktivis masyarakat" untuk membolehkan mereka mendapat bahagian zakat tersebut. Saya tertarik dengan aktiviti yang telah dijalankan oleh IMZ (Indonesia Magnificient Zakat) yang memberi keutamaan kepada aktivis masyarakat yang duduk sekali dalam kelompok mustahik dalam tempoh yang lama semata-mata untuk memastikan golongan miskin tersebut benar-benar terbela dan dapat mengambil manfaat dari wang zakat yang disalurkan. Aktivis masyarakat inilah yang sebenarnya layak mendapat bahagian asnaf amil dan bukannya mereka yang hanya pandai mengutipnya sahaja. Konsep amil di Malaysia tidak lebih hanya menunggu orang datang memberi dan mengharapkan informasi daripada ketua kampung semata-mata untuk membahagikan wang tersebut yang mana akhirnya wang tersebut hanya bermanfaat untuk digunakan pada waktu itu sahaja. Seolah-olah bantuan pakai buang.

Sudah tiba masanya, satu transformasi besar-besaran harus dilakukan terhadap golongan amil ini agar mereka yang benar-benar bekerja untuk untuk golongan sasaran wang zakat layak mendapat bahagiannya. Duduk di bilik air-cond dan setahun sekali mengadakan aktiviti pembahagian wang zakat adalah peranan yang amat-amat jauh dari landasan sebenar maqasid syara'. Bahkan saya merasakan golongan seperti ini tidak layak menerima bahagian asnaf amil kerana mereka bukannya seorang pejuang zakat. Amil adalah pekerja, pengurus, aktivis dan pejuang zakat dan bukannya pengutip zakat!

Tiada ulasan: