Ini cerita lama. Bagi penyokong dinar dan dirham, mereka sebenarnya tak pernah langsung ambil 'pot' tentang perkara ini. Sebab ini hanya berkaitan istilah, namun pada mereka, ianya adalah serius.
Kita seringkali bergelut dengan istilah. Di dalam perbankan terutamanya perbankan Islam, kita seringkali melihat teguran-teguran seperti jangan guna perkataan pinjaman Islam atau Islamic Loan, tapi gunalah istilah pembiayaan Islam kerana menurut mereka pembiayaan adalah berlainan berbanding pinjaman. Dalam Islam hanya ada satu istilah berkaitan pinjaman iaitu Qard Hassan atau mudahnya bermaksud pinjaman tanpa riba. Realitinya, tiada satu pun perbankan Islam masa kini mengaplikasikannya secara meluas kerana mereka akan jatuh bankrap dan muflis jika melaksanakannya, lalu jadilah ianya sekadar istilah yang kukuh terpahat di dalam kitab-kitab turath lama tanpa aplikasi.
Di dalam dunia akademik, teguran-teguran di atas memang ada asasnya, kerana penggunaan istilah adalah amat penting untuk memelihara dunia akademiknya yang sentiasa terikat dengan silibus dan manual tertentu, malah akan ditimpa malapetaka jika kesalahan itu dilakukan semasa menjawab kertas peperiksaan. Namun, apabila ianya berkisar di dalam dunia yang lain (selain akademik), persepsi dan suasana sudah berlainan sama sekali. Dunia selain akademik adalah dunia pengalaman yang benar dan praktikal. Lalu apabila orang salah memperkatakan tentang sesuatu istilah itu mungkin ada sebab-sebabnya tertentu dan sebagai seseorang yang mengaku dirinya ahli akademik haruslah membuat kajian ringkas tentang mengapa fenomena ini terjadi.
Saya berpandangan mengapa orang awam berterusan menggunakan istilah 'pinjaman Islam' adalah kerana:
1. Mereka tidak nampak perbezaan antara pinjaman dan pembiayaan. Walaupun pembiayaan itu berbentuk transaksi jualbeli, namun mereka tidak nampak apa yang dijual apa yang dibeli oleh perbankan Islam. Contohnya Bay Inah, apakah 'subject matter'nya? Jawapan yang diberi ialah saham. Namun apa kaitan saham dengan pembiayaan peribadi yang akhirnya pengguna hanya mahukan wang semata-mata?
2. Harga cash dan harga mark up. Contoh harga rumah RM100,000 dan itu ialah harga cash tetapi bank tidak mengkehendaki harga cash lalu menjualnya dengan harga jualan iaitu RM400,000. Apabila istilahnya pembiayaan, maka sudah tentu ada harga jual dan harga beli. Hakikatnya harga jual ialah harga keuntungan bagi pihak bank yang telah mendahulukan duitnya sebanyak RM100,000 itu dan keuntungan RM300,000 adalah keuntungan dengan sebab masa bertangguh yang dibayar selama 30 tahun. Jadi satu-satunya alasan pihak bank untuk mengaut keuntungan adalah sebab masa dan masa dijadikan sebahagian harga. Betulkah Islam mengkehendakinya sebegitu? Apakah tambahan disebabkan masa itu tidak dikira sebagai "back door riba" (meminjam istilah Imran N. Hossien)?
3. Seringkali juga perbankan Islam mewar-warkan juara di dalam menjaga maslahah pengguna seperti tiada double charges dan late charge hanya sekali dan dijadikan sedekah dan sebagainya, namun realitinya sudah ramai perbankan konvensional dan islamic window yang lain sudah pun menuju ke arah itu dan mereka pun sedar akan kelebihan itu. Makanya, orang ramai merasakan tiada lagi perbezaan antara konvensional dan Islam melainkan pada istilah semata-mata.
Kita hendaknya janganlah melihat terlalu rigid pada sesuatu istilah walaupun ianya penting pada sesetengah keadaan. Marilah kita lihat secara penuh kesedaran adakah aplikasi perbankan selama ini adalah sebagaimana yang Islam kehendaki? Saya lebih suka melihat ianya dari sudut matlamat dan 'spirit'nya, adakah ianya betul-betul cerminan Islam dan menjiwai apa yang Islam kehendaki? Jangan pula ada yang berkata selepas ini "matlamat tidak menghalalkan cara". Bukan itu kesnya di sini.
Masih ingat lagi kes Jailani dengan syarikatnya iaitu Jai Network Sistem Sdn Bhd yang menjual barangan stromberg secara banyaknya yang akhirnya hanya tempelan pada akad semata-mata? Sekarang Jailani telah pun berkubur bersama jutaan ringgit pelabur-pelabur yang mengharapkan duit pasti hasil akad jualbeli itu. Dakwaan telah pun dikenakan ke atasnya disebabkan penggubahan wang secara haram yang bernilai jutaan ringgit. Tidak pasti pula apakah nasib beliau sekarang. Tahukah kita ianya menggunakan istilah-istilah seperti akad jual beli dan pembiayaan untuk mengaburi mata pengguna dan pelaburnya? Akad itu jugalah hujahnya untuk menapis segala macam serangan dari pihak luar yang mengatakan ianya tidak betul walaupun akadnya betul. Tapi akhirnya syarikat itu tenggelam bersama-sama pemiliknya dan beribu-ribu pelabur yang lain dan sekarang mereka yang mempertahankan perniagaan itu terus hilang dan senyap begitu sahaja. Apa yang hendak diperkatakan di sini, akad semata-mata tidak menjanjikan ianya menepati apa yang Islam betul-betul kehendaki tetapi adakah ianya pada akhirnya membawa kepada kesejahteraan ummah? Itu yang lebih penting. Saya melihatnya secara menyeluruh.
Apa yang berlaku ke atas beliau akhirnya menyedari banyak pihak akan peri penting untuk menerobos secara mendalam di sebalik akad yang dibuat pada kertas semata-mata. Hakikatnya bukanlah barangan stromberg itu yang hendak dijual sebaliknya adalah semata-mata kerana wang yang ditagih hasil perjanjian jualbeli secara ansuran. Tidakkah ianya menyerupai bond mahupun segala macam istilah bay muajjal yang lain?. Beli, tunggu tarikh matang dan tuntut balik dengan jumlah yang tinggi. Ini hakikat, ini kebenaran. Cumanya pelaksanaan sedikit berbeza antara satu sama lain, namun matlamat untuk mendapatkan duit adalah sama saja.
Saya tidak mahu menjadikan entri kali ini sebagai musuh kepada pengamal-pengamal perbankan Islam masa kini kerana saya sendiri adalah salah seorang tenaga pengajarnya berkenaan perbankan Islam. Saya tahu mereka berusaha bersungguh-sungguh untuk memperbaiki segala kelemahan. Dan saya juga tahu mereka pernah mencadangkan penggubalan akta-akta tertentu walaupun tidak berjaya. Saya menghargai kesemuanya itu, namun saya juga mahu kita semua melihat alternatif yang lebih menjiwai matlamat syariah itu sendiri. Saya tidak menyalahkan perbankan Islam kerana sebenarnya mereka terperangkap dek sistem kewangan kapitalis dan zionis yang telah direkacipta sejak dahulukala. Untuk mengubah dari dalam sistem tersebut, bagi saya, adalah mustahil kerana selagi duit kertas merosot dan tiada nilai selagi itulah manusia bergantung kepada sistem ini dan ianya pasti akan terus diguna pakai, dan memang itulah matlamat mereka. Jelasnya sistem ini adalah untuk menampung kemerosotan nilai matawang yang juga dicipta oleh mereka di samping memenuhi aspirasi golongan-golongan tertentu yang tamak haloba dan juga golongan zionis yang mahu menakluki dunia melalui protokol ekonominya. Marilah kita mencari jalan keluar daripada sistem ini. Jangan kita terus-terusan terperangkap dan cari yang terbaik adalah sistem dinar dan dirham. Wallahua'lam.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan