Khamis, 31 Mac 2011

Jangan hipokrit dengan 'ranking' universiti


Baru-baru ini ada kedengaran suara 'sumbang' memberitahu golongan akademik jangan terlalu mengejar ranking universiti. Ianya bukan keperluan utama kata mereka. Kemudian dikatakan pula jangan mengabaikan bahasa Melayu di universiti. Saya amat yakin kata-kata ini ditujukan kepada salah seorang Naib Canselor IPTA tersohor di Malayia melalui kenyataan naib canselor itu bahawa yang dia gila ranking. Ranking dan bahasa Melayu adalah dua isu berbeza. Khalayak perlu mengetahui isu ini dengan lebih mendalam. Tatkala perancangan negara dalam RMK10, MEB, GTP, ETP, NKEA, NKRA dan pelbagai bentuk lagi adalah bermatlamatkan negara maju dan bertaraf dunia, tidak mengutamakan ranking adalah satu langkah terkebelakang. Sekali imbas memang benar kata-kata mereka bahawa ranking bukan segalanya. Tetapi mengejar ranking adalah suatu keperluan. Itu harus dijadikan semangat untuk maju, jika tidak perasaan 'syok sendiri' sentiasa menebal di kalangan warga akademik tempatan dan menjadikan mereka tidak bersaing.

Benchmark dan ranking

Jika mahu mengikis perasaan 'syok sendiri', beberapa tindakan perlu diambil seperti memperbaiki tahap penyelidikan universti. Mengejar 'ranking' itu sendiri membawa maksud melakukan penyelidikan bertaraf dunia, kaedah pengajaran dan pembelajaran, penggunaan teknologi terkini, etika kerja dan profesionalisme dan budaya persaingan sudah tentu wajib diikuti dan dipraktiskan. Tiada alasan lagi. Mana mungkin ranking dibentuk selain ciri-ciri yang dinyatakan diatas. Maka carilah benchmark daripada mereka yang sudah lama meneroka sesuatu bidang tersebut. Jangan berasa malu dan rendah diri dalam hal ini. Kita memang sudah ketinggalan!

Akhlak dan ranking

Ada juga suara mengatakan,apalah guna ranking jika akhlak pelajar teruk dan menjijikkan (nota: sebahagian, bukan semua pelajar). Memang betul akhlak pelajar kita sedemikian tetapi tiada kaitan dengan ranking. Dalam keadaan universiti sekarang yang tidak mengejar ranking pun, akhlak pelajar kita sememangnya begitu. Ini bukan salah ranking, ini salah gejala dan budaya yang terseleweng! Ini sama sekali tiada kaitan dengan mengejar ranking. Jika mahu bersyarah tentang akhlak seperti didikan moral dan agama, di universiti sudah terlalu lewat. Itu sebab Rasulullah menekankan kepada kita betapa pentingnya pendidikan awal kanak-kanak, bukannya pendidikan awal golongan dewasa!

Bahasa dan ranking

Isu bahasa amat penting. Kita harus akui, bahasa Melayu bukan bahasa dunia, bukan juga bahasa ekonomi mahupun bahasa bagi sumber agama Islam. Dulu ya tapi bukan sekarang. Sesiapa enggan mengakui hakikat ini, mereka sebenarnya tidak berpijak di bumi yang nyata. Mungkin golongan bahasa terkesima dengan kenyataan ini, tapi itulah hakikatnya mengapa Tun Mahathir mengambil tindakan seperti PPSMI. Berapa banyak IPTA dan IPTS di Malaysia sekarang menjalankan sesi P&P mereka di dalam bahasa Melayu terutamanya subjek sains dan teknologi? Tepuk dada tanya univerisit masing-masing. Hakikatnya, mengejar ranking harus ada kemahiran berbahasa Inggeris, Arab dan bahasa Melayu itu tersendiri. Tiada mana-mana bahasa harus dikesampingkan dalam mengejar ranking.

Sambung belajar dan ranking

Anehnya, suara 'sumbang' yang tidak mahu mengejar ranking, menyanjung tinggi pula universiti terkemuka dunia kerana ranking mereka yang teratas dalam senarai ranking univeristi tersohor dunia. Universiti Havard, Oxford, Yale, MIT dan sebagainya menjadi pilihan golongan ini. Malah, ada sesetengah universiti tidak akan meluluskan permohonan biasasiswa sambung belajar mereka jika tidak mendapat tawaran daripada universiti-universiti dalam ranking terbaik dunia.

Kesimpulan

Kita jangan hipokrit dalam isu ini. Jika benar-benar ikhlas, kejarlah ranking kerana Allah taala. Memang ranking bukan segalanya, tetapi mengejar ranking dapat memupuk semangat bersaing dan budaya kerja yang cemerlang, gemilang dan terbilang. kajilah apa yang ranking mahu, bukan apa yang kita 'syok'.

Tiada ulasan: