Rabu, 13 April 2011

Grand Mosque Abu Dhabi, di sebalik kegemilangannya..


Kesempatan berkunjung ke UAE bulan lepas atas tujuan penyelidikan yang dibiayai Kementerian Pertanian, penulis tidak melepaskan peluang berkunjung ke Grand Mosque yang terletak di Abu Dhabi, United Arab Emnirates. Masjid yang juga dikenali sebagai Masjid Sheikh Zayed itu diambil namanya sempena pemerintah terdahulu UAE iaitu, Shaikh Zayed bin Sultan al-Nahyan yang juga pengasas UAE moden dan antara pemerintah terkaya di dunia. Masjid yang dikatakan ketiga terbesar selepas Masjid al-Haram di Mekah dan Masjid Nabawi di Madinah ini telah dibina sepenuhnya dengan batu marmar tulin bermutu tinggi yang diimport sepenuhnya dari Italy. Pembinaan masjid ini pernah mendapat liputan dalam satu rancangan berbentuk dokumentari yang bertajuk megastructure di saluran 553 ASTRO kerana beberapa rekod dunia yang diciptakan. Antaranya ialah karpet yang terluas di dunia yang diperbuat dari Iran yang berkeluasan lebih 60 ribu kaki persegi dan ditenun tangan oleh 1,200 orang penenun, 20 orang juruteknik dan 30 pekerja. Berat karpet itu sahaja menjangkau 47 tan iaitu 35 tan bulu biri-biri dan 12 tan kapas. Masjid ini juga mempunyai antara candelier terbesar di dunia dan diimpot dari Jerman yang disalut emas dan berjuta kristal.
Disebalik kemegahan rekod dunia tersebut, penulis sempat memerhatikan beberapa sudut pandang dan kejadian yang tidak beberapa sesuai seperti membaca Quran selama 24 jam (nota: berhenti apabila waktu solat) oleh beberapa orang imam di makam Shaikh Zayed yang bersebelahan masjid. Bukanlah niat penulis untuk melarang bacaan al-Quran di makam, namun perbuatan tersebut tidak dapat memberi manfaat (apatah lagi keikhlasan seseorang itu sukar dicari apabila melibatkansoal pembayaran upah)kepada si mati kerana sebaiknya doa-doa anak yang solehlah lebih diutamakan. Selain, itu kedudukan bilik wuduk yang jauh dan tiada kemudahan selipar disediakan menyebabkan terpaksa memakai kasut dengan kaki yang basah ke dewan solat. Walaupun besar, arkitek gagal memahami perlunya tempat wuduk yang dekat dengan dewan solat bagi memudahkan orang ramai untuk memperbaharui wuduk mereka jika memerlukan. Kedatangan pelancong-pelancong asing pula, menyebabkan tempat-tempat tertentu yang sepatutnya tidak dibenarkan berkasut diterjah begitu sahaja menyebabkan kesucian bahagian-bahagian tertentu masjid diragui. Kehadiran jemaah setiap waktu solat (nota:pemerhatian kepada solat zuhur) pula tidak berpadanan dengan keluasan masjid (mungkin 5% daripada kapasiti penuh, dan kebanyakkanya bukan penduduk disekitarnya) dan dewan utama solat pula tidak dibuka. Sebaliknya ruangan luar dewan sahaja dijadikan tempat solat berjemaah. Ini tidak seharusnya berlaku.
Kesimpulan
Walaupun penulis gembira kerana berkesempatan menziarahi masjid yang memegang beberapa rekod dunia, namun suasana jemaah yang agak muram menjelaskan lagi suasana akhir zaman yang telah digambarkan di dalam beberapa hadis yang memperkatakan umat akhir zaman yang bermegah-megah dengan masjid yang besar tetapi tidak pula diimarahkan dengan jemaah yang besar juga. Sebaliknya jumlah yang besar hanya dilihat dengan kebanjiran pelancong-pelancong asing yang semata-mata untuk melihat rekabentuk masjid dan bukan untuk bersolat! (kebanyakan mereka bukan Muslim). Semoga apa yang dilihat ini dapat mendapat iktibar kepada diri penulis.

Tiada ulasan: